Bicara Bahasa – Agenda Pemerkasaan Bahasa, Agenda Bersama

Bicara Bahasa oleh Zaidi Ismail, DB Ogos 2010


Setelah 53 tahun negara kita merdeka, bahasa Melayu masih berhadapan dengan pelbagai cabarannya, antaranya cabaran daripada bahasa Inggeris. Selain itu, ada juga dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuklah orang Melayu sendiri, masih belum yakin bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu dan ada nilai ekonominya.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan melalui Akta DBP 1956 merupakan badan kerajaan yang diamanahkan untuk membina dan mengembangkan bahasa dan sastera Melayu, serta mengisinya dengan pancaran ilmu melalui penerbitan. Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, DBP tidak pernah menyerah kalah, sebaliknya berusaha melakukan pelbagai pembaharuan yang seiring dengan perkembangan semasa, seperti memanfaatkan sarana teknologi maklumat dan komunikasi.
Untuk memperkasakan bahasa Melayu, DBP telah menggubal suatu bentuk bahasa yang standard atau baku dari segi ejaan, sebutan, istilah dan kosa kata umum, serta tatabahasa agar terhasil satu bentuk bahasa yang baku. Seterusnya, hasil daripada penggubalan bentuk bahasa yang baku itu, DBP telah menerbitkannya melalui pelbagai buku rujukan utama, seperti Daftar Kata Bahasa Melayu (Rumi-Sebutan-Jawi), Kamus Dewan, Tatabahasa Dewan, dan pelbagai pedoman umum bahasa Melayu.

Selain itu, DBP juga telah menghasilkan lebih daripada sejuta istilah pelbagai bidang ilmu, dan sebanyak 865 702 daripadanya telah diterbitkan dalam 226 buah daftar istilah dan glosari istilah serta 46 buah kamus istilah. Pada peringkat Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) pula sebanyak 400 ribu istilah pelbagai bidang ilmu telah diselaraskan.

bb

Dari segi jumlah penutur bahasa Melayu pula, bahasa Melayu juga dapat dianggap sebagai bahasa yang “perkasa” kerana dituturkan oleh sekitar 300 juta penutur. Jumlah tersebut menjadikan bahasa Melayu menduduki tempat kelima dari segi bilangan penuturnya. Negara yang paling ramai penuturnya ialah Indonesia, iaitu lebih daripada 250 juta, diikuti Malaysia sekitar 25 juta, Brunei Darussalam sekitar 0.3 juta, Singapura sekitar 0.2 juta, dan selatan Thailand sekitar 0.3 juta.

Dengan adanya segala sarana bahasa yang disediakan oleh DBP dan “kekuatan” dari segi jumlah penuturnya, tiada masalah untuk bahasa Melayu menjadi bahasa yang perkasa. Yang penting, semua penutur bahasa Melayu perlulah sepakat untuk memperkasakan bahasa tersebut, seterusnya mengangkatnya menjadi salah satu daripada bahasa utama dunia.

Bahasa Perkasa, Bahasa Berwibawa
Dipetik dari FB Zaidi Ismail.

Artikel sama yang berkaitan:
  1. Bahasa Cerminan Tamadun Bangsa Tamadun yang baik dan sihat, hanya boleh dihasilkan oleh manusia yang sihat. Manusia perlu berhubungan sesama mereka....
  2. Bahasa Rojak Elakkan mengguna bahasa rojak. Kesannya bukan hanya merosakkan bahasa malah menyebabkan generasi baru tidak akan dapat menguasai...
  3. Bahasa Melayu Dipinggir Bangsa Sendiri Mari berfikir sejenak.. Bangsa Melayu tidak harus malu menggunakan bahasa sendiri. Bahasa Melayu pernah menjadi lingua-franca dan...
  4. Coret-Coret Pengarang – Nasib Buku Bahasa Melayu Semakin ilmiah buku yang diterbitkan dengan jumlah halaman yang lebih tebal, maka semakin sukarlah sesebuah buku yang...
  5. Bahasa dan Tamadun Melayu – Sejarah dan Masa Kini Sedar atau tidak, bahasa Melayu semakin terpinggir dan yang lebih sedih lagi terjadi dalam kalangan masyarakat...
Sub topik: 

0 comments:

Post a Comment

About this blog

MY VISITOR

Powered by Blogger.

About Me

Ruzaizi Mahmood
View my complete profile

Followers


ShoutMix chat widget
There was an error in this gadget